expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 30 May 2012

Asia ketinggalan vaksin menyeluruh




MESKIPUN kemajuan perubatan telah menemukan pelbagai jenis vaksin, negara-negara di Asia lewat menggerakkan kempen pemvaksinan secara besar-besaran atau memasukkan vaksin terkini yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam Program Pelalian Kebangsaan (NIP). Kesannya, ramai kanak-kanak yang tidak dapat dilindungi.


Meskipun banyak negara di rantau Asia terus mencapai kemajuan ekonomi, namun hanya sebilangan kecil yang mengemas kini jadual pelalian mereka menurut ketetapan WHO.


Badan dunia itu telah mengisytiharkan pelalian sebagai salah satu intervensi kesihatan paling berjaya dan menjimatkan kos kerana ia dapat mencegah penyakit-penyakit serius, hilang upaya dan kematian yang berpunca daripada penyakit yang boleh dicegah. Penyakit-penyakit yang boleh dicegah termasuklah difteria, hepatitis A dan B, campak, polio, rotavirus dan tetanus.


Dalam pada itu, WHO juga menyifatkan pemvaksinan sebagai satu pelaburan penting bagi semua negara untuk melindungi setiap individu.


Di samping itu, manfaat pelalian turut diperluaskan kepada remaja dan golongan dewasa bagi memberikan perlindungan daripada penyakit yang mengancam nyawa seperti influenza, meningitis dan kanser.


Pneumokokal


Salah satu penyakit bahaya yang boleh dicegah dengan pemvaksinan ialah penyakit pneumokokal. Ia merupakan kumpulan penyakit kompleks yang berpunca daripada bakteria Streptococcus pneumonia yang sering membawa maut dan kehilangan upaya.


Pada tahun 2007, WHO mencadangkan vaksin pneumokokus dimasukkan ke dalam NIP.


"Selain Afrika, Asia menanggung beban penyakit pneumokokal paling besar di dunia.















 


SYARIKAT farmaseutikal sedang membangunkan vaksin antinikotin bagi membantu golongan yang mahu berhenti merokok.


"Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil negara di Asia menyedari kesan serius penyakit pneumokokal dan disebabkan kekurangan data yang dikumpulkan di rantau ini, kami tidak dapat menonjolkan kesan serius penyakit tersebut," kata Pakar Penyakit Berjangkit Pediatrik dan Profesor Pediatrik, Dr. Adriano Arguedas dalam satu persidangan media di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Katanya, negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah telah memasukkan vaksin pneumokokus ke dalam program pelalian kebangsaan masing-masing dan menyaksikan penurunan mendadak dalam bilangan kes penyakit dan kematian.


"Tiada cara lain untuk menangani ancaman ini. Kunci kejayaan dalam usaha menghapuskan penyakit berjangkit pediatrik adalah menerusi pemvaksinan.
"Kita telah melihat kejayaan dalam usaha menghapuskan polio, cacar dan rubela melalui pemvaksinan," ujarnya.


Hal serius

 
Bercakap mengenai Beban Penyakit Pneumokokal di Asia dan kelengahan negara Asia mengemas kini program pelalian masing-masing, Pengarah Kanan Hal Ehwal Saintifik (Vaksin), Pfizer, Paris, Profesor Heinz-Josef Schmitt memberitahu, langkah perlu diambil untuk meyakinkan kerajaan bahawa penyakit pneumokokal tidak boleh dipandang ringan.


"Sebahagian daripada masalahnya adalah kesukaran untuk meyakinkan kerajaan supaya mengambil langkah pemvaksinan selain hakikat bahawa penyakit itu sukar untuk didiagnosis atau difahami.


"Kempen kesedaran boleh membantu kita mendidik orang ramai mengenai penyakit ini sekali gus meningkatkan kefahaman tentang gejala penyakit dan penyelesaiannya," katanya.















 


NEGARA Afrika juga menanggung beban penyakit pneumokokal paling besar di dunia.


TIDAK mustahil pada masa akan datang, syarikat-syarikat farmaseutikal mampu menghasilkan pelbagai jenis vaksin selari dengan masalah yang menimpa masyarakat dunia termasuklah mencipta vaksin antiobesiti.


Namun begitu, untuk benar-benar memulakan momentum dalam usaha mengurangkan beban penyakit di Asia, penggubal dasar perlu diyakinkan. 


Di Malaysia, 70 hingga 80 peratus kanak-kanak tidak dilindungi daripada penyakit pneumokokal kerana vaksin ini disenaraikan sebagai opsyenal (tidak wajib) dalam NIP.


Kebanyakan daripada segelintir kecil kanak-kanak yang mendapat vaksin menentang penyakit pnemukokal adalah dari sektor swasta dan ini menunjukkan kebanyakan kanak-kanak di Malaysia tidak mendapat perlindungan daripada penyakit pneumokokal.


Beban emosi


"Tekanan emosi yang dilalui ibu bapa apabila anak-anak mereka diserang penyakit pneumokokal dan beban kewangan yang ditanggung oleh sistem penjagaan kesihatan negara adalah berat.


"Sebagai negara yang sedang pesat membangun, Malaysia perlu memastikan sistem penjagaan kesihatannya mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh WHO," kata Chan Li Jin yang merupakan pengasas bersama Parenting2u.com iaitu salah satu kumpulan ibu bapa yang mengetuai kempen Aim for Broader Coverage Parent Coalition.

















Ujarnya, tumpuan perlu diberikan kepada usaha menyediakan sistem penjagaan kesihatan bertaraf dunia untuk semua.


"Peluang yang sama akan memastikan penduduk bandar dan luar bandar mendapat peluang pemvaksinan untuk anak-anak mereka bagi menentang penyakit pneumokokal," tambahnya.


Memasukkan pemvaksinan pneumokokal ke dalam NIP boleh mempercepatkan pencapaian wawasan Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 dengan kadar kematian kanak-kanak yang setanding dengan negara-negara maju lain iaitu lima kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup berbanding tujuh sebelum ini.


Banyak negara lain telah mula menyedari pentingnya pemvaksinan pneumokokus dalam usaha memastikan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak.


Setakat ini, lebih daripada 50 buah negara di seluruh dunia termasuk Singapura, Hong Kong dan Macau telah memasukkan vaksin pneumokokus ke dalam NIP masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com