expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 27 June 2012

Liga Super: Terengganu ikat Kelantan 2-2




TERENGGANU berjaya mengikat jirannya, Kelantan dengan keputusan 2-2 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.


Red Warriors berjaya mendahului 2-1 dalam separuh masa pertama melalui jaringan Norfarhan Mohamad pada minit keenam, diikuti oleh jaringan ketua pasukan, Piya pada minit ke-21 melalui sepakan percuma.


Terengganu bertindak balas dengan menjaringkan dua gol melalui Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-40 dan Mohamad Muslim Ahmad minit ke-50.


Dalam pada itu, pasukan di tangga ketiga liga, Perak meneruskan rentak kemenangan selepas mengalahkan T-Team 3-2 di Stadium Perak, Ipoh.


Tiga gol skuad Seladang dijaringkan Mohd Nazri Kamal pada minit ke-33, Mohd Failee Ghazali (minit ke-63) dan Albert Bodjongo (minit ke-66) manakala dua gol pasukan pelawat dijaringkan Mohd Faiz Subri pada minit ke-19 dan 69, lapor Bernama.


Selangor pula mengekori rapat skuad Perak selepas menumpaskan 'adik' mereka, PKNS Selangor 1-0 menerusi jaringan ketua pasukan, Mohd Amri Yahyah pada minit-minit akhir separuh masa pertama di Stadium Shah Alam.


Sabah pula menamatkan rentetan kekalahan mereka dalam saingan liga selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah di Stadium Likas menerusi jaringan Jufrey Omopor pada minit ke-52.


Dua lagi pasukan, Sarawak dan Johor FC turut mencatatkan kemenangan tipis ke atas lawan masing-masing.


Sarawak mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United menerusi jaringan pemain import dari Cameroon, Joel Epalle pada minit ke-38 di Stadium Hang Jebat, Melaka manakala Johor FC pula mengalahkan Kuala Lumpur dengan keputusan sama menerusi jaringan ketua pasukan Mohd Khairul Ismail pada minit ke-57 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.


Berikut keputusan perlawanan Liga Super yang berlangsung malam ini:

 
    Selangor     1     Selangor PKNS     0
  
    Perak        3     T-Team            2
  
    Felda United 0     Sarawak           1
  
    Sabah        1     Kedah             0
  
    Terengganu   2     Kelantan          2
  
    Johor FC     1     Kuala Lumpur      0    


  
         

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com