expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 28 June 2012

Seri tidak gugat peluang Kelantan





KOTA BHARU - Keputusan seri 2-2 yang dilakar oleh Kelantan ketika bertemu Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin tidak merencatkan peluang Red Warriors untuk merangkul kejuaraan liga musim ini.


Meskipun kecewa dengan keputusan tersebut, pengurus pasukan Azman Ibrahim tetap optimis pasukannya mampu mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.


Menurutnya, kelebihan memiliki baki lima perlawanan yang dimiliki oleh pasukannya perlu di manfaatkan sebaik mungkin jika mahu menjadi juara musim ini.


"Kami hanya ketinggalan dua mata dibelakang Lions XII dan berbaki lima perlawanan, berbanding wakil Singapura itu mempunyai baki dua perlawanan.
"Jadi kami tidak boleh alpa dan keciciran mata dalam perlawanan selepas ini. Untuk menjadi juara liga, pasukan memerlukan sembilan mata mata daripada lima baki perlawanan selepas ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.


Pada perlawanan kelmarin, Kelantan yang beraksi ditempat lawan terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-6 menerusi pemain kelahiran Terengganu Norfarhan Mohamad, yang melepaskan sepakan kencang untuk menewaskan Mohd. Sharmiza Yusoof.


Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi menggandakan jaringan pelawat pada minit ke-20 menerusi sepakan percuma yang menewaskan Mohd. Sharmiza Yusoof di gawang Terengganu.


Tersentak dengan jaringan tersebut, Terengganu menggandakan asakan dan berjaya merapatkan jurang menerusi Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-40.


Bersambung babak kedua, Terengganu terus meningkatkan serangan dan berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Mohamad Muslim Ahmad pada minit ke-50 untuk mengikat kedudukan menjadi 2-2.


Dalam pada itu, Azman memberitahu beliau berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh barisan pemain, biarpun gagal mempertahankan kelebihan dua jaringan pada babak pertama.


"Saya harap pemain dapat bangkit pada perlawanan akan datang. Keputusan ini tidak menjejaskan peluang Kelantan untuk mencabar kedudukan liga musim ini.


"Baki perlawanan selepas ini boleh diibaratkan sebagai pentas akhir yang akan menentukan hala tuju pasukan sama ada mampu menjadi juara atau tidak," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com