expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 9 August 2012

Ghaddar 'tak muncul', ribut baru landa Red Warriors


















Penyerang import sensasi Kelantan, Mohammad Ghaddar


BELUM pun reda kontroversi dengan pemain Selangor, Mohd Bunyamin Umar, penyerang import sensasi Kelantan, Mohammad Ghaddar sekali lagi mencetuskan ‘ribut’ terbaru di kem pasukannya ketika ini apabila gagal melaporkan diri menjalani latihan bersama pasukan.


Kegagalan penyerang kebangsaan Lubnan itu yang sepatutnya bersama pasukan menjalani latihan pada 5 Ogos lalu sekali gus merencatkan persiapan awal yang dilakukan oleh The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini.


Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim mengesahkan, Mohammad Ghaddar gagal melaporkan diri kepada majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) seperti dijanjikan selepas aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Queens Park Rangers (QPR) 20 Julai lalu.


“Sepatutnya pemain ini melaporkan diri dengan kita pada tarikh tersebut. Segala usaha kita lakukan termasuk menghubungi beliau sendiri dan juga menerusi ejen di sini tetapi masih gagal,” katanya kepada Sinar Harian semalam.


“Kita ambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai perkara ini. Secara jujur kita masih menantikan maklum balas pemain ini sama ada menerusi telefon atau e-mel. Mana tahu mungkin beliau ada masalah yang perlu diselesaikan di Lubnan ketika ini.


Azman bagaimanapun menegaskan, tiada keistimewaan bagi Mohammad Ghaddar dan membayangkan penjaring terbanyak Liga Super Kelantan itu bakal berdepan hukuman daripada pihak Kafa sekiranya gagal memberikan alasan munasabah mengenai kehilangan dirinya.


“Itu sudah dikira ponteng latihan. Sama seperti pemain lain, Ghaddar juga tidak terkecuali berdepan hukuman seperti pemotongan gaji daripada pihak Kafa sekiranya didapati bersalah. Itu sudah termaktub di dalam perjanjian kontrak antara kami dengan beliau.


Selain Mohammad Ghaddar, seorang lagi awang import TRW, Obinna Nwaneri juga masih belum melaporkan diri namun Azman menjelaskan pemain pertahanan kelahiran Nigeria itu dijangka berbuat demikian dalam sehari dua lagi.


“Obinna (Nwaneri) diberi cuti panjang sedikit bagi membolehkannya menyelesaikan urusan di Switzerland. Saya percaya beliau tidak menghadapi masalah untuk kembali bersama Kelantan selepas ini,” katanya.


Ketiadaan dua tonggak import itu menyaksikan hanya Mijo Dadic dari Croatia dan Keita Mandjou (Guinea) turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan lain di bawah kendalian Bojan Hodak sejak 1 Ogos lalu.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com